GOMBAK: “Wanita berambut panjang dengan wajahnya dipenuhi ulat cuba menarik kaki menyebabkan saya seperti dirasuk sebelum pengsan dalam bilik guru,” kata Siti Munirah Latif, 14, menceritakan punca histeria yang menyerang dirinya dan tiga rakan di sekolah, kelmarin.
Difahamkan, keempat-empat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gombak di sini, diserang histeria sejak awal minggu lalu dipercayai akibat gangguan makhluk halus di sekitar kawasan sekolah terbabit.
Mangsa yang dipercayai dirasuk sebelum histeria itu mendakwa melihat wanita hodoh berambut panjang dan kanak-kanak lelaki yang membawa pisau cuba menyerang mereka.
Ketika ditemui di rumahnya di Taman Samudera di sini, semalam, Munirah berkata, dia bersama tiga rakan sekelas mengalami detik ngeri itu kira-kira jam 5 petang, sejurus tamat waktu rehat sesi persekolahan petang.
“Ketika menunggu kelas subjek kesihatan, dua rakan, iaitu Norfatin Izyan Fauzi dan Siti Zaimah Abdullah keluar dari kelas untuk ke tandas.
“Namun, ketika memasuki kelas, kedua-dua mereka tiba-tiba meracau dan ketawa mengilai menyebabkan kami sekelas terkejut serta panik,” katanya mengimbas detik sebelum diserang histeria.
Menurutnya, seorang guru yang sedang mengajar di kelas berkenaan, kemudian membawa ketiga-tiga pelajar terbabit ke bilik guru sebelum memanggil ustaz untuk menenangkan mereka.
“Saya yang turut mengikut mereka ke bilik berkenaan kemudian tersentak apabila seorang lagi rakan, Nazirah Imran tiba-tiba meracau dan mendakwa lehernya dicekik seorang ‘budak lelaki’.
“Ketika memegang tubuh Nazirah, saya melihat seorang wanita berbaju putih dengan wajah mengerikan meniarap di sebelahnya dan cuba menarik kaki saya.
“Akibat terlalu takut dengan kehadiran wanita itu, saya menjerit sekuat hati sebelum tidak sedarkan diri di bilik guru,” katanya.
Difahamkan, semua mangsa yang dirasuk bagaimanapun kembali sedar dan dipulihkan kira-kira setengah jam kemudian sebelum dibawa pulang keluarga masing-masing yang dipanggil ke sekolah sejurus kejadian berkenaan.
Munirah mendakwa, kejadian itu dipercayai berpunca tindakan pihak tertentu menebang beberapa pokok di belakang kawasan sekolah berkenaan yang dianggap ‘kediaman’ makhluk halus.
Ibunya, Salmiah Ahmad, 50, berkata hatinya berdebar sejurus menerima panggilan daripada seorang guru kira-kira jam 5.30 petang meminta segera mengambil anak perempuannya itu di sekolah.
“Selepas dia (Munirah) dibawa pulang kakaknya, kami sekeluarga membuat majlis doa selamat termasuk bacaan Yasin dan solat hajat bagi memastikan kejadian itu tidak berulang pada masa depan,” katanya.
Bagi rakan mangsa yang juga saksi kejadian, Azhad Isad, 12, dia yang panik ketika itu segera melaungkan takbir dan iqamah bertujuan ‘mengusir’ makhluk halus berkenaan, namun dimaki-hamun Siti Munirah yang bersuara kasar seperti lelaki.
Sementara itu, jurucakap sekolah berkenaan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan keadaan masih terkawal dan tidak membimbangkan.
“Kami (pihak sekolah) juga mengadakan majlis tahlil termasuk memanggil mereka yang berpengalaman menangani kejadian histeria untuk mengawal keadaan,” katanya.
Dipetik dari : http://www.hmetro.com.my/Saturday/BeritaUtama/20081011100613/Article
No comments:
Post a Comment