Monday, July 25, 2011

Teka-teki bongkah batu


PERDANA Menteri Perancis, Francois Fillon dan Raja Sihamoni melawat Angkor yang telah dibaik pulih.


PEMULIHAN runtuhan Kuil Baphuon yang dibina pada kurun ke-11 di Kemboja adalah hasil tidak pernah jemu di sebalik panas cuaca tidak menentu dan ancaman perang saudara. Kuil itu kini kembali ke bentuk asalnya setelah beratus-ratus ribu batu-bata dicantum menggunakan tangan dan tenaga manusia. "Ketika pertama kali melihat kemusnahan monumen itu saya tidak yakin kami boleh membinanya kembali," kata seorang pakar pemulihan arkeologi Kemboja, Ieng Te.

Lelaki itu menyertai projek berkenaan ketika dia masih berstatus pelajar pada tahun 1960. Pada masa itu dia ditugaskan untuk menanda batu dengan satu angka khas. "Sudah tentu saya teruja dan gembira. Kami berjaya membina semula kuil purba ini," kata Ieng yang kini berumur 66 tahun. Pada satu hari dalam hujan renyai baru-baru ini, para pekerja pemulihan menyapu cat lapisan terakhir pada tangga kayu di Kuil Baphuon. Ia kuil terbesar selepas Angkor Wat yang menjadi simbol kemegahan kompleks Angkor. Kerja-kerja pemulihan itu merupakan aktiviti terakhir sebelum kuil itu dibuka kepada umum pada 3 Julai lalu.

Raja Kemboja, Raja Sihamoni dan Perdana Menteri Perancis, Francois Fillon merupakan orang kenamaan terawal melawat kuil tiga tingkat itu pada hari pembukaannya.

Tiga dimensi


KUIL Bhapuon yang runtuh berjaya dibaik pulih selepas 50 tahun.


Cerita pemuliharaan menelan kos AS$14 juta (RM43 juta) itu bermula pada 1960-an setelah sekumpulan pakar arkeologi Perancis merelai batu-batu kuil yang mulai runtuh akibat kerapuhan. Para pekerja menggunakan tangan untuk menanda lebih 300,000 bongkah batu sebelum meletakkannya secara tersusun di kawasan hutan berhampiran. Namun, usaha untuk membina semula menara kuil terjejas setelah Kemboja terjerumus ke dalam kancah perang saudara pada tahun 1970.

Kumpulan pakar arkeologi tersebut menerima tamparan hebat untuk menyusun kembali Baphuon mengikut sistem nombor setelah rejim komunis Khmer Rouge merosakkan projek itu sebaik sahaja berkuasa pada tahun 1975.

Projek yang dibiayai oleh kerajaan Perancis itu hanya disambung semula pada tahun 1995 dengan dana yang disalurkan melalui Institut Kajian Asia, Ecole Francaise d'Extreme-Orient (EFEO). "Projek pemuliharaan kuil ini merupakan misteri teka-teki tiga dimensi terbesar dunia," kata arkitek EFEO, Pascal Royere. Walaupun data-data dan nombor batu-batu yang ditanda dirosakkan, kumpulan pembaik pulih tersebut tetap berjaya mencantum semula kuil itu dengan mengukur dan menimbang setiap blok berdasarkan gambar arkib, lukisan serta memori bekas pekerja projek tersebut. "Kami berhadapan soalan teka-teki tiga dimensi. Kami mempunyai 300,000 bongkah batu untuk dicantumkan sebagai gambar dan itulah cabaran utama projek ini. "Setiap batu mempunyai tempatnya dan kami tidak akan menjumpai batu kedua yang mempunyai ukuran sama," kata Royere.

Pelancong


TAMAN Negara Angkor dilawat 1.1 juta pelancong tahun lalu.


Kerja-kerja baik pulih Baphuon siap sepenuhnya pada April lalu dengan bantuan 250 pekerja. Kuil Baphuon dibina sekitar tahun 1060 oleh Raja Udayadityavarman II untuk memuja dewa Hindu, Shiva. Kuil yang terletak di barat laut Kemboja itu merupakan bangunan terbesar di negara itu pada masa tersebut dengan ketinggian 35 meter. Pada abad ke-16, patung Buddha condong setinggi 70 meter dibina pada tingkat kedua menggunakan batu dari atas Kuil Baphuon.

Kedua-dua fasa pembinaan itu membabitkan jarak masa lebih 500 tahun sekali gus menyukarkan lagi usaha pemuliharaan. Projek itu juga bertambah perlahan berikutan musim hujan. Pahit getir di sebalik pembinaan semula itu kini menjadi sudut fokus lensa pelancong yang tidak putus-putus mengunjungi seni bina purba tersebut, kata Royere. Baphuon terletak di tengah-tengah Taman Negara Angkor dan ia sudah pasti menjadi tarikan utama, tambah Royere. Seorang pelancong dari Amerika Syarikat, Gayle Sienicki berkata, dia terpegun melihat kuil Baphuon dapat dicantum semula dari beribu-ribu bongkah batu. "Ia sangat menakjubkan. Sukar untuk saya gambarkan bagaimana sabarnya para pekerja projek pemulihan Baphuon bekerja mencantumkan kuil itu semula. "Apa yang paling penting, mereka berjaya melakukannya walaupun selepas 50 tahun," kata Sienicki. - AFP

(sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0724&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_08.htm)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...