Wednesday, December 10, 2008

'Budak’ tunjuk diri

Oleh Md Fuzi Abd Lateh, mdfuzi@hmetro.com.my



BUKIT BERUNTUNG: Kemeriahan satu keluarga menyambut Aidiladha di Jalan Seroja dekat sini, semalam bertukar menjadi pengalaman menyeramkan dengan kemunculan ‘orang asing’ di rumah mereka.


Kemunculan lembaga menyerupai seorang kanak-kanak perempuan itu dirakam telefon bimbit Hermansa Affendi, 26, di rumah mentuanya, Fauziah Enggo, 45, petang semalam.


Hermansa berkata, dia terkejut sebaik melihat ‘orang asing’ dalam rumah keluarga mentuanya yang sedang menyambut Aidiladha.

“Pada jam 3.02 petang tadi (semalam), saya merakam gambar anak, Nur Raihan, 3 dan adik ipar, Ilinur Balqis Mohd Diah, 8, menggunakan telefon bimbit ketika mereka berehat di ruang tamu sebagai kenangan hari raya, tetapi langsung tidak menyedari ada ‘budak lain’ tumpang bergambar.

“Keluarga kami terperanjat selepas adik ipar, Ili Fatin Najwa, 12, menunjukkan gambar ‘budak asing’ dalam telefon bimbit bersama Nur Raihan dan Ilinur Balqis. Saya yakin hanya ada dua orang ketika saya merakamkan gambar itu,” katanya di sini, semalam.

Hermansa berkata, kerana tidak percaya kemunculan ‘budak asing’ itu, dia memindahkan gambar bersaiz 1.3 megapixel itu ke komputer riba bapa mentuanya, Mohd Diah Amir, 51.


“Mengejutkan apabila wajah kanak-kanak perempuan berambut panjang seperti anak patung mainan itu jelas kelihatan di komputer riba yang turut disaksikan 16 ahli keluarga di rumah itu.


“Saya turut memindahkan gambar itu ke telefon bimbit lain supaya rakaman itu nampak lebih jelas,” katanya

Ahli keluarganya turut menyalin gambar itu ke beberapa telefon bimbit yang berresolusi lebih jelas.

“Saya tak sangka kepulangan dari Tawau, Sabah, menyambut Aidiladha bersama mentua memberikan pengalaman menyeramkan.

“Sebelum ini, saya tidak percaya kemunculan lembaga ibu dan anak dalam rumah ini seperti diceritakan adik ipar,” katanya.

Hermansa berkata, rumah itu diduduki keluarga isterinya, Ili Dhiyana sejak 2003 didakwa ‘berpenunggu’ yang sering menampakkan wajah kepada beberapa ahli keluarga,” katanya.


Dia bercadang menghantar gambar itu untuk diproses di kedai gambar di Bukit Sentosa untuk disimpan sebagai kenangan.

“Sambutan hari raya menjadi hambar kerana ahli keluarga takut bergerak ke setiap ruang rumah teres dua tingkat ini berikutan bayangan budak itu,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...